Namun, bagi Awie, peristiwa tersebut sebenarnya telah mengajarnya apa itu erti sebuah persahabatan dan juga perlu bertolak ansur.
"Hubungan kami ibarat hubungan dalam sebuah perkahwinan dan bila bercerai tentulah rasa sedih, malah saya lebih sedih berpisah dengan mereka daripada berpisah dengan isteri saya.
"Sebab Wings punca rezeki kami, sumber pendapatan Wings juga yang beri makan pada isteri dan anak-anak saya, begitu juga dengan ahli yang lain," demikian menurut Awie pada majlis sambutan anniversary ke 30 kumpulan Wings di Hotel Swiss Garden.
Kumpulan Rock Wings dianggotai oleh Eddie, Black dan Joe dan Awie telah ditubuhkan pada 1985 di mana Awie selaku penyanyi utama kumpulan tersebut bertindak keluar daripada kumpulan tersebut pada tahun 1993 namum begitu beliau menyertai semula kumpulan tersebut pada tahun 2002 dan digantikan oleh Mel.
"Dulu saya akui belum matang dan bertindak terlalu mengikut emosi dan darah muda. Sekarang saya menyesal dan kalau boleh diputar waktu memang saya ingin elakkan perpisahan tersebut.
"Kini saya lebih banyak bersabar dan jika marah atau terasa dengan sesuatu perkara saya hanya berdiam diri. Mereka juga faham kalau saya diam sahaja bermakna saya terasa atau kecil hati," katanya.
Menceritakan detik pertemuan semula mereka selepas lapan tahun bermusuhan, Awie berkata kejadian itu berlaku ketika perkahwinan komposer dan penyanyi Datuk M.Nasir dengan Datin Marlia Musa.
Awie berkata, dia diminta untuk membuat persembahan istimewa bersama dengan Wings buat pertama kali selepas perpisahan mereka.
"Kami bertemu kembali juga dalam situasi yang dramatik iaitu ketika majlis perkahwinan M.Nasir. Masa itu mereka minta saya nyanyi dengan Wings dan sejak itulah kami bertemu dan meluahkan rasa kesal masing-masing," ujarnya.
0 Comments