ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia setelah ditinggalkan di dalam kereta bapanya lebih lapan jam di Kuala Nerang hari ini.
Menurut jurucakap polis, mangsa, Muhammad Aqil Arfan Adnan ditinggalkan di dalam kereta bapanya yang diletakkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang sejak 7.30 pagi hingga 4 petang.
Katanya bapa kanak-kanak itu telah meletakkan kenderaan di sekolah itu tanpa menyedari anaknya sedang tidur di dalam kereta itu.
“Dia sepatutnya menghantar anaknya ke tadika. Pada pukul 4 petang apabila hendak mengambil keretanya dia mendapati anaknya berada dalam kereta itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya bapa kanak-kanak itu terus membawa anaknya ke wad kecemasan Hospital Kuala Nerang dan doktor di hospital itu mengesahkan anaknya telah meninggal dunia.
Difahamkan, mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini malam ini untuk bedah siasat. – BERNAMA
0 Comments