Follow us

Awie dakwa tak jenguk anak kerana rumah Rozana ‘berpuaka’


KUALA LUMPUR - Pelakon dan penyanyi rock popular, Awie tidak menjenguk dua anaknya yang di bawah jagaan bekas isteri, Rozana Misbun, 38, selepas menganggap rumah bekas isterinya itu sebagai ‘berpuaka’.
Keterangan tersebut diberikan oleh Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, di hadapan Hakim Syarie Che Saupi Che Husin dalam perbicaraan kes nafkah anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6, di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Ketika ditanya peguam yang mewakili Rozana, Mohd. Nor Apandi Dahari dalam sesi soal balas telah mempersoalkan mengapa Awie tidak cuba menjenguk anaknya dan Awie yang kelihatan tenang menjawab sambil diperhatikan peguamnya, Mohd. Syafiq Norizan.
Menurutnya, beliau tidak dapat menjenguk anaknya kerana tidak pasti lokasi mereka dan percaya Rozana telah membawa kedua-dua anaknya itu tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci.
Ujarnya lagi, rumah yang dihuni oleh Rozana sebelum ini juga tidak dikunjungi kerana beranggapan rumah tersebut berpuaka ekoran tidak seorang ahli keluarga bekas isterinya itu menyukai beliau.
Selain itu, apabila ditanya mengenai nafkah sementara, Awie mengakui tidak memberikan sebarang nafkah kepada anak-anaknya sebelum mendapat perintah Mahkamah Tinggi Syariah baru-baru ini untuk memberikan nafkah berjumlah RM1,600 sebulan, mulai bulan lalu.
“Saya tidak beri sebarang nafkah selepas anak saya dilarikan oleh Rozana dua tahun lalu, saya berbuat demikian kerana khuatir duit berkenaan tidak akan digunakan untuk anak-anak tetapi lebih kepada kepentingan beliau sendiri,” katanya. - K! ONLINE

Post a Comment

0 Comments