Follow us

RM30 Juta Dibayar kepada Bekas Isteri Anak Tun Taib Mahmud

Mahmud Abu Bekir
Anak yang Dipertua Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan kes tuntutan nafkah mutaah daripada bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid hari ini. - Foto Bernama
Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, anak kepada Yang Dipertua Sarawak, Tun Taib Mahmud,  telah diperintahkan untuk membayar RM30 juta sebagai mutaah kepada bekas isterinya, Shahnaz Majid.


Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan  , Muhammad Abdul Karim Wahab membuat keputusan itu  selepas mahkamah berpuas hati Shahnaz selaku plaintif berhak mendapat mutaah.

Beliau turut memerintahkan jumlah tersebut dibayar secara ansuran tiga kali bermula 31 Mac, 30 Jun dan 30 september ini.

"Setiap kali ansuran, defendan perlu membayar RM10 juta dan sekiranya bayaran tersebut dijelaskan sepenuhnya pada 31 Mac ini, defendan tidak perlu membuat bayaran pada tarikh-tarikh akan datang sebagaimana diperintahkan," katanya.

Jumlah tersebut direkodkan menjadi bayaran mutaah termahal di negara ini.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, terdapat tiga isu yang harus dipertimbangkan dan diteliti mahkamah.

  • "Pertama, adakah mutaah wajib dibayar defendan dan jika ia wajib dibayar, berapakah jumlahnya serta dakah plaintif berjaya membuktikan kes berdasarkan keterangan," katanya.


Menurutnya, kemampuan defendan telah dibuktikan oleh saksi, Andrew Heng yang menyatakan bahawa ahli perniagaan itu memiliki aset bernilai hingga RM1.395 bilion.

"Kemampuan defendan membelanjakan RM1 juta sekali gus turut dibuktikan oleh keterangan saksi- saksi," katanya.

Beliau berkata, tindakan defendan meninggalkan plaintif dalam tempoh yang lama adalah pengabaian yang tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh dipandang enteng.

"Isteri digantung tidak bertali selama 10 tahun. Plaintif adalah isteri yang sah namun hanya memegang status berkenaan secara lahiriah sahaja," katanya.
Muhammad Abdul Karim berkata, mahkamah bersetuju jumlah tuntutan RM100 juta yang difailkan plaintif adalah tidak munasabah.

"Mahkamah mengambil kira kesedihan isteri yang ditinggalkan dalam tempoh lama," katanya.

Di luar mahkamah, Shahnaz memberitahu perasaannya bercampur baur dengan keputusan tersebut.

"Saya masih belum berbincang lanjut dengan peguam mengenai tindakan seterusnya," katanya.

Sementara itu, salah seorang peguam defendan, Saadiah Din berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut esok.

"Pihak kami turut akan memfailkan pergantungan perintah terhadap bayaran tersebut," katanya sambil mengesahkan jumlah tersebut adalah bayaran termahal di negara ini.

Mahmud Abu Bekir ketika ditemui enggan mengeluarkan kenyataan.
Shahnaz, 54, dan Mahmud Abu Bekir, 54, bernikah pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 22.

Mereka bercerai pada 11 Mei 2011 selepas hidup berasingan selama 10 tahun.
Pasangan berkenaan mendapat perhatian rakyat kerana ia kes berprofil tinggi melibatkan orang kenamaan dan  menjadi kes penceraian termahal di Malaysia.
Selain mutaah yang difailkan pada 22 Februari 2011, Shahnaz turut memfailkan tuntutan harta sepencarian RM500 juta.

Shahnaz adalah kakak kepada penyanyi terkenal tempatan, Datuk Sheila Majid.
Shahnaz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Kadir dan Dr Mohd Rafie Shafie manakala Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Mahmud Abu Bekir selain Saadiah.

Post a Comment

0 Comments