Foto LADANG ganja di bawah rumah kanak-kanak itu. |
Budak perempuan berusia sembilan tahun itu membuat laporan di balai polis mengenai kegiatan ibu bapanya baru-baru ini. Dia dengan tenang memasuki balai polis di Barnesville, Minnesota dan menceritakan kepada pegawai bahawa ibu bapanya menanam ganja di bawah rumah mereka. Menurutnya, dia membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan selepas tidak tahan dengan bau asap ganja yang membuatnya sakit.
Dia juga bimbang dengan kesihatan anjingnya kerana ibu bapanya sering menghembus asap ganja ke dalam mulut haiwan kesayangannya itu. “Dia sangat berani, bijak dan fasih. Dia memberi keterangan seperti orang dewasa,” kata jurucakap polis, Ryan Beattie.
Lebih mengagumkan, kata Beattie, budak itu lebih pintar berbanding kanak-kanak seusianya. Dia menjelaskan dengan terperinci mengenai jenis dadah yang tidak mungkin diketahui kanak-kanak lain. Pihak berkuasa menyerbu rumah terbabit dan polis menemui pokok ganja di tempat seperti yang diceritakan kanak-kanak berkenaan.
Turut ditemui ialah bahan yang diuji positif dadah jenis methamphetamine. Setakat ini, polis belum menetapkan jenis tuduhan yang akan dikenakan ke atas pasangan suami isteri itu kerana masih menanti keputusan ujian makmal bagi mengesahkan tumbuhan dan bahan kimia yang ditemui di rumah itu.- AFP
0 Comments